Apa yang aku tulis harapnya adalah sesuatu yang neutral yang aku dapat hadam daripada pemahaman aku pasal si mahasiswa seorang ni yang mana namanya aku tak nak sebut disebabkan dia sendiri sudah menerima ancaman dan kutukan yang maha dasyat.
Mereka-mereka ini yang mahu menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan untuk membantah AUKU, bagi aku adalah satu perkara yang tidak salah. Namun, insiden yang berlaku, di mana mahasiswa ini yang dengan kurang berfikiran matang barangkali, telah menurunkan bendera (bendara apa aku tak mau sebut) adalah sesuatu yang tidak rasional. Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Bendara adalah sesuatu yang simbolik dan mempunyai makna kepada sesiapa sahaja yang menyangjunggi kepada simbol penghormatan tersebut.
Tindakan cetek akal yang telah dilakukan (menurunkan bendera) ibarat pergi ke rumah orang dan kemudian telah menampar muka tuan rumah. Sikap tidak menghormati tuan rumah dengan cara sedemikian sudah tentunya sama seperti menjolok sarang tebuan. Bukan sahaja tuan rumah yang akan terasa sakitnya, malah seluruh ahli keluarga tuan rumah akan turut berasa marah.
Mahasiswa yang ingin terlihat sebagai wira ataupun bakal pemimpin masa hadapan ini bagi saya, dia adalah seorang yang berani. Namun, dengan tindakan kebudak-budakkan sedemikian, menyebabkan saya juga akan berfikir banyak kali untuk menjadikan anda sebagai role model mahupun pemimpin. Kepimpinan bukan sahaja memerlukan keberanian yang memang sudah ada dalam diri mahasiswa tersebut, sebaliknya, makna kepimpinan merangkumi kebijaksaan dan bagaimana anda dapat mengawal tekanan yang dihadapan dalam pelbagai jenis situasi.
Berbalik kepada tujuan asal yang mana bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan untuk memansuhkan AUKU, (sekiranya berlangsung tanpa insiden bersejarah terbabit) akan menjadi satu tindakan aman; mencerminkan keintelektualan mahasiswa masa kini. Pamerkan bahawa anda-anda adalah mahasiswa yang layak untuk membuat revolusi terhadap kerajaan sekarang ini dengan peribadi dan akal fikiran yang waras.
Tetapi apa yang kelihatan di sini adalah satu usaha yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa terbabit, yang mana saya kira sebagai permulaan revolusi telah memperlihatkan kelemahan mereka sendiri. Kekecohan yang berlaku sedikit sebanyak akan menggambarkan kepada masyarakat situasi sekiranya para pemuda harapan iaitu mahasiswa-mahasiswa terbabit memimpin kelak. Bagaimana anda dapat menjadi pemimpin dengan cara sedemikian. Kematangan sangat penting, mengambil kira segala aspek sebelum melakukan sesuatu juga amat mustahak. Ini adalah apa yang dikatakan sebagai strategi dalam memimpin, bukan dengan melakukan tindakan semberono, melakukan tindakan biadap yang akan membawa anda keatas menjadi pemimpin.
Dalam satu sedutan video yang mana memaparkan mahasiswa terbabit kelihatan seperti anak tikus ketakutan apabila dia telah menerima ancaman hebat daripada panggilan telefon, sms, no telefon, no kereta myvinya serta alamat rumah turut dipaparkan kepada umum. Wahai mahasiswa, kenapa sebelum anda melakukan perbuatan tersebut anda tidak memikirkan natijah-natijah yang bakal anda hadapi akibat tindakan “bijaksana” anda tersebut. Bayangkan satu hari nanti, anda berjaya menjadi pemimpin negara ini, dan anda melakukan tindakan-tindakan “bijaksana” anda semasa mentadbir negara ini...
Anda juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan meminta maaf kepada sang tuan bendara tersebut dan juga kepada para pengancam anda, memberi gambaran bahawa anda adalah seorang yang tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang telah anda lakukan. Mana pergi jati diri anda wahai mahasiswa, memohon maaf bukan bermaksud anda kalah, bukan bermakna anda lemah. Pertahankan tindakan anda itu, adalah sebagai simbolik supaya sang pemilik bendara melihat usaha anda sebagai serius, dan meminta maaf sekiranya tindakan tersebut menyinggung pemilik bendara dan seangkatan denganya. Itu akan lebih molek dan menunjukkan anda ada ciri-ciri demokrasi dalam masa yang sama tegas dalam menyampaikan pendirian anda. Namun.. anda melakukan sebaliknya, jadi saya doakan anda selamat menempuhi natijah baik buruk perbuatan anda.
Kepada peminat pemilik bendara terbabit, khususnya para pahlawan yang mengeluarkan video marah gaban anda terhadap mahasiswa terbabit membuktikan tahap kesetiaan anda yang sangat tinggi. Kami dan penonton yang lain faham, dan menerima mesej kemarahan anda tersebut, tetapi berpada-padalah. Jangan sampai hilang adab, sampai mahu meludah lawan. Anda memasang bendera sanjungan ramai di belakang anda dalam video terbabit, bendera yang menggambarkan satu etnik di negara kita yang penuh kesopanan dan disebaliknya terlihat kepahlawanan. Tapi anda pamerkan sikap yang sangat kontra. Terlalu mudah anda melatah dengan mahasiswa kerdil terbabit. Seharusnya anda juga buktikan anda itu pahlawan profesional, hebat dengan tindakan politik bijak. Bukan macam budak-budak lima tahun yang suka ludah orang bila marah. Pahlawan sejati tidak akan memalukan lawan.
Tapi, yelah.. lawan juga tidak hormat anda, buat apa anda pahlawan hebat mahu hormat lawan. Bergaduh sebegini pilihan yang bijak ye para pemimpin. Kami rakyat suka melihat anda-anda menyelesaikan masalah ala barbarian ini.
Menyelesaikan masalah dengan cara bijak, rasional, musyawarah anda tidak mahu guna. Tapi ada hati anda mahu jadi pemimpin kami. Tunjukkan pada kami iaitu rakyat sekeliannya bahawa anda adalah pemimpin yang kami cari, yang mampu berhadapan dengan apa jua situasi, masalah, dugaan yang berlaku. Bukan sahaja kepada anda pemimpin yang berada di atas sana, tetapi kepada anda pemimpin yang di bawah sana.
Akhir kata, kepada mahasiswa terbabit, revolusi kecil anda punah dengan tindakan “bijaksana” anda. Kepada para panglima, hilang kehebatan kepahlawanan anda bila marah menguasai diri, cepat-cepat ambil wudhuk ye. Sekian yang buruk seburuk kain buruk semua dari saya, yang baik semuanya datang dari Allah s.w.t, Dialah Tuhan mahasiswa tersebut, dia juga Tuhan panglima sekelian. Eh, kita berkongsi Tuhan yang sama rupanya, jadi kita bukan musuh lah kannn.. =]
p/s: sakit bahu aku type merapu macam ni.. Ya Allah selamatkan Malaysia, naungi kami rakyatnya di bawah pemimpin yang paling layak bagi kami. Amin... btw, aku pun terfikir natijah aku lepas aku publish ni. Adehh.. najwa latip kata pejam mata cuba apa saja, harharhar..
No comments:
Post a Comment