Wednesday, 21 December 2011

Siapakah Abdullah Fahim ?



Tadi aku kemas bilik, aku terpunggah la kotak-kotak buku zaman muda-muda dulu.. haha.. Aku tertarik dengan sebuah buku ni yang aku dapat time form 1 dulu, walaupun dah 10 tahun tapi buku tu elok lagi. Jadi aku pun teringinlah nak berkongsi pasal buku Abdullah Fahim: Perjuangan Seorang Tokoh Agama Dan Kemerdekaan, sebab aku rasa tak ramai antara muda-mudi belia sekarang mengenali siapa itu Abdullah Fahim.. Beliaulah tokoh yang mencadangkan Tuanku Abdul Rahman memilih tarikh 31 Ogos 1957 sebagai hari Kemerdekaan negara kita. 

Sebagai perkongsian ilmu dengan semua, aku pun terpanggil untuk mencedok dengan senduk sedikit sebanyak dalam buku ini mengenai tokoh agama dan kemerdekaan ini.  

  • Tuan Guru Haji Abdullah Fahim merupakan bapa kepada Dato’ Haji Ahmad Badawi dan datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 iaitu Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi. 




  •   Nama sebenar belian ialah Abdullah Bin Ibrahim, beliau juga dikenali sebagai Sheikh Abdullah Fahim.  
  • Telah dilahirkan di tanah suci Mekah Al-Mukarramah pada 1870 di Kampung Sha’ab Ali yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram. 
  •   Pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Masjidil Haram Semasa berada di Mekah, beliau sempat memperlajari ilmu politik islam dan antarabangsa serta mempunyai kelulusan lebih daripada 15 bidang ilmu islam. Manakala kemahiran utamanya ialah ilmu falak dan kesusasteraan Arab. 
  •  Pernah mengajar ilmu falak, usuluddin, tafsir Al-Quran dan hadis di Masjidil Haram.
  •    Kembali ke Tanah Melayu pada 1916 dan mengajar di rumah pusakanya di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Kemudian dilantik sebagai guru agama kepada Sultan Kedah selama 4 tahun. Pada tahun 1931, beliau dijemput oleh Sultan Perak, Baginda Sultan Idris untuk menjadi mudir dan mengajar di Madrasah Idrissiyyah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah itu, pada tahun 1934, beliau mula mengajar di sekolah agama  Daeratul Maarif Al-Wataniah (DMW), di Kepala Batas bersama anak-anaknya.
  •  Kembali ke rahmatullah pada 28 April 1961 ketika berusia 92 tahun. 

Gelaran “Fahim” telah diberikan oleh murid-muridnya kerana mempunyai kebolehan dan kemahiran menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan (dalam bahasa Arab disebut sebagai “Fahimun” yang bermaksud orang yang lebih memahami hal-hal agama. 

Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang sangat pemurah dan zuhud serta sentiasa memberikan wang sakunya kepada sesiapa saja yang meminta. Semasa beliau menjadi mufti di Pulau Pinang, isterinya Hajah Shari’ah binti Haji Hassan telah menyimpan sebahagian daripada pendapatannya bagi mengelakkan kesemua wang tersebut digunakan untuk beliau bersedekah. 

Tuan Haji Abdullah Fahim bukan sahaja seorang tokoh agama yang disegani, malah beliau juga turut seorang ahli politik yang yang cekap dan pintar. Pada tahun Mac 1946, beliau telah dipilih untuk mempengerusikan bahagian agama dalam Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) yang bertujuan untuk memperjuangkan semangat kemerdekaan serta menyokong gerakan anti Malayan Union (MU). 

Banyak menasihati Tuanku Abdul Rahman berpolitik dan dalam usaha mendapatkan kemerdekaan negara.

Sumbangan Tuan Haji Abdullah Fahim dalam bidang politik tidak terhenti di situ sahaja, malah beliau juga merupakan individu untuk Tuanku Abdul Rahman untuk mendapatkan nasihat dalam memimpin UMNO dan menuntut kemerdekaan. Tuanku Abdul Rahman sendiri telah menganggap Tuan Haji Abdullah Fahim sebagai bapa serta gurunya sendiri. 

Tuanku Abdul Rahman juga telah datang dan berjumpa meminta nasihat dengan Tuan Guru Haji Abdullah Fahim sebelum Tuanku ke London untuk berunding dengan British berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu pada Januari 1956. Tuanku Abdul Rahman yang bercadang untuk ke London dengan menaiki kapal terbang, tetapi Tuan Haji Abdullah Fahim telah menasihati Tuanku supaya berangkat dengan menaiki kapal laut. Tuanku Abdul Rahman dianjurkan untuk melakukan perjalanan menggunakan kapal laut bagi membolehkan anggota rombongan mempunyai masa yang lebih panjang untuk melakukan perbincangan. Namun, untuk perjalanan pulang ke Tanah Melayu setelah selesai proses rundingan di London, semua anggota rombongan telah diminta untuk menaiki kapal terbang untuk mempercepatkan perjalanan ke tanah air dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini yang berkemungkinan akan menjejaskan proses menuntut kemerdekaan. 

Antara peristiwa lain yang menceritakan Tuanku Abdul Rahman telah bertemu dengan Tuan Guru Haji Abdullah Fahim adalah untuk mendapatkan firasat darinya berkaitan dengan tarikh yang sesuai bagi kemerdekaan Tanah Melayu. Tuan Guru Haji Abdullah Fahim telah memberitahu Tuanku Abdul Rahman bahawa sekiranya kerajaan Inggeris tidak memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, maka penduduk Tanah Melayu terpaksa menunggu 5 tahun lagi iaitu pada 31 Ogos 1962 untuk mendapatkan kemerdekaan. Tuan Guru Haji Abdullah Fahim menyatakan bahawa tarikh 31 Ogos 1957 ini dalam bahasa Arab “Am Khir Atana” yang membawa maksud “ Tahun Baik Datang Kepada Kita”. 

Selain itu, Tuan Guru Haji Abdullah Fahim juga memberitahu Tuanku Abdul Rahman bahawa selepas Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu akan ditukar kepada nama lain 7 tahun kemudian. Firasat Tuan Guru Haji Abdullah Fahim sekali lagi menjadi kenyataan apabila Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bersama dalam gagasan Malaysia pada 16 September 1963. 

Generasi muda masa kini perlu mengenali dan terus mengingati jasa serta sumbangan Tuan Guru Haji Abdullah Fahim kerana sekiranya tidak ada campur tangan beliau, maka berlainanlah lakaran yang dicatatkan dalam sejarah Malaysia pada hari ini. Tuan Guru Haji Abdullah Fahim juga pernah berkata bahawa “ Kalau orang Melayu beragama Islam mengkhianati bangsa, negara, dan agama, Allah akan menggantikan bangsa lain yang beragama Islam untuk menjaga tanah air kita”. Oleh itu, setiap perjuang tokoh-tokoh terdahulu telah berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan dilimpahi rahmat harusnya terus dipelihara oleh para pemimpin masa kini dan akan datang..



*      

No comments:

Post a Comment